Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta ini telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2020 dan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.
Kementerian Kewangan telah melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah ini merupakan usaha komprehensif bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan serta menerapkan ciri-ciri keselamatan untuk pengguna.
Warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 layak menerima RM30 setiap seorang melalui mana-mana pengendali e-dompet yang terlibat. Wang tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali e-dompet pilihan masing-masing. Inisiatif e-Tunai Rakyat akan berlangsung selama dua bulan dari 15 Januari 2020 hingga 14 Mac 2020.
Pada 20 Disember 2020, Khazanah telah melantik Pengendali perkhidmatan e-dompet yang terpilih seperti berikut;
- Touch ‘n Go Digital (www.tngdigital.com.my)
- Boost (www.myboost.com.my)
- GrabPay (www.grab.com/my/pay)
Pemilihan pengendali adalah berdasarkan 4 kriteria berikut;
- Memiliki jumlah pengguna aktif yang besar. Ini adalah bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat mampu mencapai seramai mungkin rakyat Malaysia yang layak.
- Rangkaian pedagang yang besar. Ini adalah untuk membolehkan sebanyak mungkin peniaga memanfaatkan insentif perbelanjaan ini, manakala pengguna pula dapat menikmati pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan.
- Kepakaran teknikal, kekuatan kewangan dan sumber manusia untuk membangunkan sistem, proses dan prosedur yang diperlukan untuk inisiatif ini, serta keupayaan untuk mengendalikan urus niaga yang tinggi dalam tempoh yang singkat.
- Pengendali e-dompet yang telah membuat pelaburan besar dalam perkhidmatan masing-masing di Malaysia.
Inisiatif e-Tunai Rakyat ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan dan penerimaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang di Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.
Pengendali perkhidmatan e-dompet yang terlibat akan menyediakan maklumat lanjut tentang bagaimana rakyat Malaysia boleh memohon dan menggunakan insentif RM30 di bawah inisiatif e-Tunai Rakyat.
Pautan Siaran Media Khazanah;
https://www.khazanah.com.my/Media-Downloads/News-Press-Releases/2019/Leading-e-wallet-service-providers-selected-for-e?lang=ms-my